Sunday, November 4, 2012

Tribute for ‘Nek Cik’



Hari ini genaplah seminggu dia meninggalkan kami.

Seminggu jugalah saya meratap kehilangannya.

Bukan tidak redha tetapi bagai semalam saya berjumpa dengannya.

Seolah-olah seperti mimpi.

Senyum di bibir tidak pernah lekang. Sentiasa membuatkan suasana yang ceria dengan gelak tawanya.

Masih terngiang-ngiang di telinga mendengar nada ketawanya.

Dia tidak pernah marah.

Dia seorang yang pandai mengasuh adik-adik saya walaupun dia tidak dikurniakan anak.

Suatu hari saya bertanya kepada adik saya yang berumur 7 tahun yang pernah diasuh olehnya sehingga kini,

 “Nek Cik baik x dengan Kinah?”

“baik”

“Nek Cik pernah marah atau rotan Kinah x?”

“hurm...”,adik saya berfikir sejenak.

“x pernah..”,jawab adik saya sambil menggeleng kepala.

“yeke?bukan hari tu Nek Cik gtau yg Kinah nakal kt rumah die. Kinah buat ape hah?” Tanya saya dengan nada bergurau.

“eh,pernah, pernah.... Nek Cik pernah marah Kinah. Masa Nek Cik marah tu, dia tunjuk hanger kat Kinah macam ni, tapi die tak rotan Kinah”, jawab adik saya sambil mengayakan semula gaya Nek Cik beserta memek mukanya sekali. Gelak sungguh saya ketika itu.

Memang Nek Cik pandai mengasuh anak-anak kecil. Dia asuh seperti anaknya sendiri walaupun dia tidak dikurniakan anak.

Pernah suatu ketika dahulu, kami sekeluarga mendapat berita yang Nek Cik akan dimadukan. Kami agak terkejut masa itu. Wajah Nek Cik ketika itu seperti biasa apabila kami bertandang ke rumahnya. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.Tapi hasrat ini dibatalkan oleh suaminya yang kami panggil ‘Tok Cik’.

Nek Cik sangat pandai memasak. Sering kali kami berbalas bekas makanan dengannya. Bukan sekadar lauk –pauk yang dihantar ke rumah kami bahkan, kuih-muih yang dibuat sendiri olehnya. Memang sedap...

Kadang-kadang ayah saya di rumah tidak perlu memasak kerana dengan adanya lauk pemberian darinya sudah cukup untuk kami sekeluarga. Maklumlah, emak saya bekerja.

Tapi, insan ini pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Insane yang telah banyak berjasa kepada kami adik-beradik.

Dia telah mengasuh adik-adik saya, Hanisa, Faris dan Sakinah. Sudah 18 tahun dia mengasuh adik-adik saya sehingga mereka terlalu akrab dengannya.

Adik saya, Hanisa yang sudah berumur 18 tahun sudah dianggap seperti anak angkat oleh keluarga Nek Cik. Bermula Hanisa dilahirkan, dia telah diasuh oleh Nek Cik sehinggakan dia enggan tinggal bersama kami sekeluarga.

Kemudian, adik saya yang keenam, Faris, juga diasuh oleh Nek Cik. Dan kini, Sakinah yang sedang berumur 7 tahun. Hasil didikan Nek Cik, pencapaian adik-adik saya terutamanya dalam bidang akademik sangat memberansangkan.

Alhamdulillah...Ya Rabb... tetapi, saya tidak berkesempatan menimba ilmu daripada Nek Cik tentang menddidik anak walaupun terlalu awal untuk saya mempelajarinya.

Terima kasih, Nek Cik sebab sudi mengasuh adik-adik Hawa....

Sehari sebelum Nek Cik meninggalkan kami, Sakinah minta emak saya menghantarnya ke rumah Nek Cik.

“Kinah nak tidur rumah Nek Cik”, pinta adik saya.

Keesokan hari iaitu hari sabtu bersamaan 11 zulhijjah, 27 oktober 2012, saya pulang ke UIAM Kuantan setelah cuti berakhir kerana kami di UIA sedang bertungkus lumus utk mid-term exam.

Sebaik sahaja sampai di Kuantan pada petang 27 Oktober, pada waktu malam, saya menerima panggilan daripada adik saya, Hanisa.

“Kak We, Nisa ni. Kak We kt mana?”

“Kak We kt Kuantan. Nape?”

“o yeke...ingat Kak We kat rumah lagi. Nek Cik dah lain macam je ni. Nisa call rumah x dapat. Call mama pun tak angkat.”, kedengaran suara tangisan di belakang suara telefon.

“owh, ok2.Kak We call mama sekarang!”, talian segera dimatikan dan mendail semua nombor adik-beradik saya. Hampir saya putus asa. Akhirnya panggilan dijawab oleh adik saya yang kedua, Omar.

“Panggil mama sekarang! Cepat!”, saya hampir menjerit di dalam telefon.

Apabila telefon bimbit bertukar tangan, “Ma, Nisa telefon tadi, dia cakap Nek Cik dah lain macam. Mama gi rumah Nek Cik sekarang, Ma...”.

Saya di Kuantan sedang menelaah pelajaran ketika itu menjadi gelisah. “Ya Allah, Kau berilah yang terbaik buat Nek Cik. Kau permudahkanlah ketika sakratul mautnya.”

Saya sms adik saya, Hanisa. “Nisa, Nek Cik cmne?”

“Nek Cik dah meninggal. Masa Kak We telefon dah xde.”

Ya Allah....! saya tidak mampu untuk berkata-kata. Hanya mampu menitiskan air mata. Tika itu, tiada siapa untuk saya mengadu kerana saya keseorangan di dalam bilik di UIA Kuantan. Roommate saya masih dalam perjalanan pulang ke UIA. Hanya Allah sahaja tempat saya mengadu ketika itu.

Buku yang dibaca ketika itu dibiarkan sahaja di atas meja. Saya hanya termenung di hadapan meja study sambil membayangkan wajah adik-adik saya ketika itu terutamanya Sakinah yang masih belum mengerti apa-apa. Malam itu juga, Sakinah masih berada di rumah Nek Cik.

Sungguh kematian Nek Cik menjadi pengajaran buat diri saya. Nek Cik pergi meninggalkan kami disebabkan oleh sakit kanser usus pada awal pengetahuan saya. Tetapi, ade pula yang mengatakan bahawa 
Nek Cik bukan mengidap kanser usus. Saya pun tidak tahu dengan lebih lanjut.

Moga Nek Cik aman di sana dan rohnya dicucuri rahmat. 

Tetapi, ape yang patut kita tahu ialah, ajal di tangan Allah. Nek Cik meningalkan kami seperti yang telah tercatat di luh mahfuz. Nek Cik meninggal sebab ajal dia dah tiba.

Ajal kita bila? Wallahu ‘alam....

Allah masih memberikan kita peluang untuk memperbaiki diri dan untuk beramal sepuas-puasnya di dunia. Dunia adalah ladang untuk bercucuk tanam di akhirat. Persiapkan diri kalian ke arah itu!

Sesungguhnya, orang yang yang paling bijak ialah orang yang mengingati mati.....