Friday, August 20, 2010

Hasrat Memiliki Hati Yang 'BROADBAND' Kepada Allah


DALAM dunia kepenggunaan Internet, perkhidmatan broadband (jalur lebar) menjadi idaman. Broadband menjanjikan hubungan 24 jam dengan dunia maya global. Namun pernahkan hubungan 24 jam dengan Allah menjadi suatu matlamat yang ingin dicapai?

Sungguh ironi. Saya sendiri berasa cukup kecewa, bengang dan geram apabila Internet terputus (disconnect). Bagaimanapun, hati yang sering disconnect dengan Tuhan tidak pula diberangi dengan perasaan yang serupa. Sedangkan ketika solat pun sering disconnect, apalagi bila ke pasaraya, pantai, taman tema dan sebagainya.

Hati yang berhubungan dengan Allah dalam sebarang keadaan, masa dan tempat tentunya dimiliki oleh mereka yang istimewa di sisi Allah.

Mereka malah disebut-sebut oleh Allah dalam firman-Nya sebagaimana dalam surah ali-'Imran ayat 190- 191. "Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi dan perselisihan malam dan siang itu, ada beberapa tanda bagi orang yang mempunyai fikiran. Mereka yang menyebut nama Allah sambil berdiri, sambil duduk, dan sambil berbaring, mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhanku! Engkau tidak jadikan semua ini dengan sia-sia Maha suci Engkau! Dengan itu peliharakanlah kami dari api neraka."

Maksud surah an-Nisa' ayat 103, antara lain Allah berfirman dengan maksud, "Maka apabila kamu telah mendirikan solat, ingatlah pada waktu berdiri, duduk, mahupun berbaring...."

Ayat-ayat di atas antara lain mengandungi saranan dan formula untuk sentiasa ingatkan Allah biarpun di luar waktu ibadah khusus atau mungkin diluar masjid. Lantaran langit, matahari, bulan, bintang, tumbuh-tubuhan dan binatang-binatang semuanya merupakan modal dan inspirasi untuk ingatkan Allah.

Tanda-tanda kebesaran Allah juga tersirat di balik kotaraya-kotaraya yang sarat dengan hutan batu. Allah cipta silika untuk dibuat gelas kaca bagi menghiasi kebanyakan bangunan moden. Allah turut mencipta besi, pasir, batu marmar dan lain-lain bahan-bahan pelengkap dalam pembinaan sesebuah bangunan.

Untuk kenderaan yang melata, Allah ciptakan getah sebagai bahan asas kepada tayarnya. Untuk makanan, Allah ciptakan tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang agar dimanfaatkan oleh manusia. Di sebalik roti canai ada pokok gandum yang Allah cipta. Di sebalik teh tarik, ada pokok teh yang Allah hidupkan!

Dan di sebalik pokok-pokok tersebut, Allah turunkan hujan sebagai syarat penting untuk tumbesarannya. Allah cipta matahari untuk membolehkan biji-biji gandum dan daun-daun teh tumbuh subur menerusi proses fotosintesis.

Dalam diri manusia sendiri sahaja dapat mencetuskan daya ingat dan zikir kepada Allah. Tangan dan kaki yang boleh bergerak, mata yang melihat, telinga yang mendengar, mulut yang berkata misalnya sungguh ajaib penciptaannya. Di samping sistem pernafasan, sistem penderiaan, sistem pencernaan, sistem perkumuhan dan lain-lain.

Pun begitu, untuk lidah mengucap 'subhanallah' dan 'alhamdulillah' dengan tanda-tanda kebesaran Allah tersebut tentunya memerlukan latihan dan kemahuan diri yang tinggi. Ia mesti dilazimi sehingga sebati di lidah dan di hati. Ini termasuklah doa masuk dan keluar tandas, doa sebelum dan selepas makan, istighfar, ucapan 'innalillahi wainna ilaihi raji'un' sewaktu ditimpa musibah dan lain-lain.

Allah juga telah sediakan program yang sistematik agar manusia tidak lekang ingatkan-Nya. Sebagai contoh, dalam sehari, Allah programkan lima kali solat fahdhu. Dalam seminggu, Allah programkan solat Jumaat yang diiringi khutbah. Dalam setahun, ada Ramadhan selama sebulan. Dalam seumur hidup, ada pula program haji dan umrah bagi yang berkemampuan.

Firman Allah yang bermaksud, "Kerana itu ingatlah kepada-Ku nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan jangan kamu mengingkari nikmat-Ku." (Al-Baqarah: 152)

Hati yang ikhlas berzikir kepada Allah sudah tentu mendapat perhatian rahmat dan kasih sayang daripada Allah. Allah akan murahkan rezekinya dan mudahkan urusannya, di samping akan memberikan kekuatan kepada hati tadi untuk menapis segala bentuk khurafat dan menepis sebarang maksiat.

Hayatikan lagi kalam mulia yang bermaksud ini, "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang." (Ar-Ra'd: 28)

Siapa lagi yang boleh mentenangkan jiwa manusia kalau bukan Allah? Apakah cara yang paling berkesan malah mempunyai kesan yang berpanjangan untuk mengecapi hati yang tenang kalau bukan dengan zikrullah? Kata orang, bila hati tenang, tempat yang sempit terasa lapang, bila hati resah, tempat yang lapang bagaikan terhimpit.

Nabi Muhammad s.a.w. pastinya model terbaik buat umat, malah bagi seluruh umat manusia. Dalam suatu riwayat oleh Imam Muslim, kata Aisyah r.a. yang bermaksud, "Adalah Rasulullah s.a.w. berzikir kepada Allah setiap masa."

Baginda s.a.w. yang berniaga, mengepalai rumahtangga, memimpin masyarakat dan negara itu terlalu sibuk dengan tugas menyampaikan risalah Islam di samping sibuk dengan amalan harian solat berjamaah, membaca al-Quran dan sebagainya.

Justeru, menyibukkan diri dengan solat lima waktu secara berjamaah, puasa, haji, baca al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan tazkirah, berdakwah, mengamalkan doa-doa ringkas harian dan lain-lain insya-Allah akan membuka jalan untuk menghampiri status 'broadband' dengan Allah.

No comments:

Post a Comment