Friday, August 27, 2010

Jangan Sekadar Baca Saja...!


Hari ini genaplah 17 hari umat Islam berpuasa dan di hari sayyidul ayyam ini juga telah jatuhnya hari nuzul Quran. Banyak program telah diadakan dan telah menelan belanja yang tidak kurang banyaknya. Bagi  kebanyakkan individu pula, mereka bertungkus-lumus untuk mengkhatamkan 30 juzuk al-quran sepanjang bulan yang mulia ini.

Ya...memang bagus inisiatif yang diambil. Tambahan pula, bulan Ramadhan inilah kita berlumba-lumba untuk beramal. Pendek kata, Ramadahan is just the right time for us to purify our heart.

Tetapi...setakat manakah amalan-amalan yang yang dilakukan ini??? Adakah ia hanya sekadar di bulan Ramadhan sahaja?? Adakah kita sama-sama menghayati amalan yang dilakukan sepanjang bulan ini?? Adakah kita hanya mengkhatamkan bacaan al-quran 30 juzuk hanya di bulan ini?

Sempena dengan nuzul quran ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Apakah kita selama ini telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari Al-Qur’an atau justeru telah mengabaikan Al-Qur’an? Apakah selama ini Al-Qur’an telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum, sekaligus sebagai penyelesai segala masalah kehidupan kita? Ataukah sebaliknya, kita malah meninggalkan dan mencampakkannya?

Kebanyakan kita berusaha menjaga fizik Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak ‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang akan menjaga kemurnian Al-Qur’an dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan.

Ketika saya berada di UIAM Gombak, pernah kawan saya mengatakan bahawa orang Malaysia sangat-sangat menjaga Al-Quran berbanding orang negara lain. Ya, memang ia terbukti daripada pemerhatian saya sendiri. Orang Malaysia sangat berhati-hati dengan al-quran tetapi orang negara lain (foreigner) tidak se"berhati-hati" orang Malaysia. Orang Malaysia hendak letak al-quran di bahagian bawah di tepi-tepi dinding tak berani tetapi bagi foreigner perlakuan itu adalah biasa malah ada yang membaca al-quran tanpa bertudung (bagi perempuan). Mereka membacanya ibarat orang Malaysia membaca sebuah novel. Pendek kata, orang Malaysia sangat memuliakan Al-quran.  

Tidak ketinggalan juga, di bulan Ramadhan ini kebanyakkan kita mengadakan tadarus Al-Quran. Apa yang sering berlaku di kalangan kita ialah kita terlalu asyik untuk berlumba-lumba untuk mengkhatamkan juzuk yang telah ditetapkan secepat mungkin tanpa menghayati makna ayat al-quran yang dibaca. Kita lebih mengutamakan kuantiti daripada kualiti ! Apa gunanya membaca al-quran berjuzuk-juzuk tanpa menghayatinya??? seolah-olah membaca sebuah novel sehari tanpa mengetahui langsung apa kisah yang diceritakan!

Segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Namun, kita sering hanya berhenti sebatas ini sahaja. Umat Islam berusaha untuk menjaga fizik Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk memahami isi kandungannya dan menerapkan hukum-hakamnya. Umat Islam marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi mereka sendiri ‘menghina’ Al-Qur’an dengan tidak mengamalkan hukumhukum yang terdapat di dalamnya. Umat Islam sakit hati apabila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran Al-Qur’an.



Umat Islam sentiasa mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup, tetapi pada masa yang sama mereka tidak menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur kehidupan. Umat Islam hanya memilih hukum-hakam tertentu yang ada di dalam Al-Qur’an untuk diamalkan dan mereka meninggalkan sebahagian besar hukum-hakam yang lain. Mereka mengambil ayat-ayat tentang akhlak tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang mua’malat. Mereka mengambil ayat-ayat tentang wudhu’ tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang hudud. Mereka mengambil ayat-ayat tentang solat tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang jihad. Dan begitulah seterusnya.

Mereka hanya memilih hukum-hukum yang mereka suka untuk diamalkan. Mereka berusaha menundukkan Al-Qur’an agar sesuai dengan hawa nafsu mereka. Mereka malah mengambil hukum kufur yang dibuat oleh penjajah dan meninggalkan hukum Allah. Dengan sebab inilah Allah menurunkan kehinaanNya ke atas mereka.

Mereka mengambil hukum Barat dan merasa bangga dengannya, lalu hukum Barat ini dipertahankan oleh mereka sebagaimana mereka mempertahankan aqidah mereka. Apabila ditanya kenapa mereka tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka akan memberi seribu satu alasan. Mereka yakin bahawa hukum kufur Barat adalah lebih baik dari hukum Allah, maka hukum Barat diterapkan, hukum Allah dicampakkan.

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat. Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit (ampunan) dan mereka tidak pula akan masuk syurga seingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kejahatan” (7:40)

Oleh itu, marilah kita sama-sama kembali kepada Al-Quran dengan cara yang benar.Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa memuhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya menerapkan segala isi kandungannya di dalam bentuk per individu, bermasyarakat dan bernegara.

No comments:

Post a Comment